Apa Itu Gong Xi Fa Cai?
Masyarakat Cina di Malaysia adalah komuniti bangsa yang kedua terbesar setelah Melayu. Malah kaum Cina juga terkenal dengan kaum yang kaya dengan kebudayaan dan kepercayaan yang berwarna warni. Oleh itu, dengan kesempatan ini kami ingin memperkenalkan secara ringkas mengenai perayaan tahun baru Cina bakal berlangsung tidak lama lagi.
Di China, perayaan Tahun Baru Cina dikenali sebagai Perayaan Musim Bunga atau Chun Jie manakala di Malaysia, ia dikenali sebagai ‘Tahun Baru (berdasarkan) Kalendar Lunar’ atau Nong Li Xin Nian.
Tahun Baru Cina atau juga dikenali sebagai Perayaan Musim Bunga adalah perayaan paling penting bagi masyarakat Cina di seluruh dunia. Ianya berlangsung dari hari pertama hingga hari ke-lima belas pada bulan pertama kalendar lunar.
Masyarakat Cina dahulu yang hidup di dalam suasana pertanian menyebabkan mereka semua terlalu sibuk mengerjakan tapak pertanian mereka dan amat jarang berpeluang untuk seisi keluarga berjumpa kecuali pada perkahwinan mahupun kematian sanad saudara. Oleh itu, mereka telah menetapkan tempoh ini bagi keluarga dan rakan untuk bersama-sama bagi bersosial, makan dan dari situlah ianya telah menjadi satu adat tradisi bagi menyambut perayaan Tahun Baru Cina sehingga ke hari ini walaupun masyarakat Cina sudah tidak bekerja sebagai petani.
Lebih-lebih lagi di dalam komuniti pertanian yang miskin, mereka terpaksa hidup di dalam kesempitan dan perayaan Tahun Baru Cina inilah antara kesempatan bagi mereka untuk menikmati juadah yang jarang mereka berpeluang untuk rasa. Lantaran dari itulah Tahun Baru Cina ini sentiasa menjadi masa untuk kegembiraan dan juga beramah mesra dengan saudara serta rakan-rakan.
Tahun Baru Cina biasanya disambut selama 15 hari dan adalah amalan biasa sepanjang tempoh perayaan ini di mana individu yang telah berkahwin akan memberikan ‘ang pau’ (sampul merah) kepada mereka yang masih bujang terutamanya kanak-kanak. Dua hari pertama Tahun Baru Cina biasanya adalah cuti umum seluruh Malaysia.
Situasi Perayaan Tahun Baru
Sebelum Tahun Baru Cina tiba, kebiasaannya kesemua ahli keluarga masyarakat Cina akan membersihkan rumah mereka secara besar-besaran sehinggakan setiap penjuru dan ceruk rumah bagi menyambut ketibaan Tahun Baru Cina.
Setelah selesai, kesemua penyapu akan disimpan, ini kerana menurut kepercayaan mereka bahawa bagi menghalang dari harapan dan doa mereka disapu keluar.
Menjelang tibanya malam Tahun Baru Cina atau juga dikenali sebagai Pra-Tahun Baru Cina, seisi keluarga akan berkumpul dan menikmati ‘reunion dinner’ (Jamuan Makan Malam Pertemuan Semula). Ini kerana masyarakat Cina sangat menitikberatkan hubungan kekeluargaan dan jamuan makan malam ini dianggap sebagai hidangan yang paling penting dalam setahun. Mereka yang telah berumah tangga dan mereka yang di luar negeri akan cuba sedaya upaya untuk pulang bagi menghadiri majlis kekeluargaan ini.
Malah pada malam tersebut, masyarakat Cina juga ada adat untuk tidur lewat malam pada malam Pra-Tahun Baru Cina. Ia juga dikenali sebagai ‘shousui’. Ia bermula dari makan malam dan makanan itu harus dinikmati secara perlahan, dan ada kalanya ia baru selesai larut malam. Pada malam itu ahli keluarga berhimpun ramai-ramai sehinggalah bermulanya permainan mercun pada tengah malam.
Membakar Mercun Simbolik Halau Makhluk Jahat
Mercun telah diharamkan oleh kerajaan Malaysia. Namun menurut kepercayaan masyarakat Cina, mercun dinyalakan bagi menghalau roh jahat dan juga bunyi bising dari mercun akan memeriahkan lagi suasana perayaan.
Dikatakan ianya bermula dari mitos seekor raksaksa yang bernama Nian yang akan datang setiap tahun baru untuk menganggu masyarakat dengan mengorbankan haiwan ternakan serta kanak-kanak. Bagi melindungi diri, orang kampung akan meletakkan makanan di hadapan rumah supaya raksasa Nian tidak akan menyerang manusia.
Pada suatu hari, penduduk kampung ternampak Nian melarikan diri dengan ketakutan apabila ia melihat seorang kanak-kanak memakai baju merah. Disebabkan hal itu, pada setiap Tahun Baru Cina, mereka akan memasang tanglung merah dan membakar mercun serta memakai pakaian merah untuk menakutkan Nian. Bermula dari tindakkan demikian, Nian tidak lagi menyerang penduduk kampung tersebut dan difahamkan telah bertukar menjadi gunung Hongjun Laozu.
Kepercayaan itu menjadi ikutan dan tradisi sehinggalah ke hari ini. Membakar mercun disebatikan dengan kepercayaan menghalau roh-roh jahat. Begitu juga dengan warna merah bukan sahaja dipercayai dapat menghalau roh jahat tetapi membawa keberkatan dan kesejahteraan. Memakai pakaian baru juga merupakan simbolik kepada permulaan tahun baru.
Sampul Merah & Duit
Bila masukknya Tahun Baru Cina, masyarakat Cina akan memberi sampul merah yang berisi wang yang dikenali Ang Pau. Ang Pau merupakan istilah dialek Hokkien daripada Bahasa Mandarin ‘Hong Bao’. Di Hong Kong dan kebanyakan kawasan majoriti komuniti berdialek Kantonis, ianya dikenali dengan nama lain iaitu Lai See (利是).
Pada malam menjelang Tahun Baru Cina, mereka yang lebih tua akan memberikan ang pau (Sampul Merah) kepada kanak-kanak di bawah bantal mereka dan mereka akan hanya membukakannya pada pagi Tahun Baru Cina.
Ianya juga menjadi satu tradisi bagi mereka yang telah berumahtangga untuk memberikan ang pau kepada mereka yang masih bujang. Kepentingan ang pau ini bukanlah terletak pada jumlah wang yang diberi tetapi ia adalah simbol perayaan, ucapan yang baik serta tuah.
Limau dan Nenas
Dalam kepercayaan kaum cina, amalan memberi limau mandarin merupakan simbolik memberi tuah. Buah limau mandarin yang dipanggil sebagai ‘Kam’ dalam dialek Kantonis bermaksud emas. Buah ini dianggap sebagai wajib ada setiap Tahun Baru Cina kerana ia melambangkan limpahan kekaayaan kepada masyarakat Tiong Hua. Warna limau keemasan seperti memberi jongkong emas kepada orang lain.
Begitu juga dengan buah nenas. Dalam dielek Hokkien ia berbunyi ‘Ong Lai’ yang mirip bunyinya dengan “kekayaan (ong) akan datang”. Oleh itu kedua buah ini dianggap memberi maksud yang baik bagi masyarakat Cina.
Kesimpulan
Kebanyakkan kepercayaan di dalam perayaan tahun baru cina ini tidak dipalitkan dengan agama. Ia lebih kepada mitos dan lagenda yang dikaitkan dengan simbolik-simbolik yang diperingati sehingga hari ini. Kadang kala mitos dan lagenda itu berlaku secara berasingan, akan tetapi mitos itu digabung bersekali terutama tarikh-tarikh yang bersamaan untuk diperingati secara keseluruhan. Begitu uniknya kepercayaan dan tradisi di dalam masyarakat Cina.
Untuk menonton kuliah mengenai perbincangan tahun baru Cina boleh tonton di: https://www.facebook.com/FirdausWongMRM/videos/1438429809601334/
Selamat Menyambut Tahun Baru Cina
Gong Xi Fa Cai
R&D Team Multiracial Reverted Muslims
Search