Cerita Anak Desa
Cita-Cita dan Impian Awal Saya dalam Kehidupan
Apa agaknya cita-cita saya sewaktu zaman kanak-kanak? Boleh teka? Selalunya, cita-cita kita dipengaruhi persekitaran kita, iaitu apa yang kita dapat lihat dan dengar setiap hari. Di tempat tinggal saya di Simpang Kuala, kami kanak-kanak (dan juga kadang-kadang orang tua) akan menghabiskan masa sebelah petang atau pagi (pada hujung minggu) di atas bangku kayu di tepi jalan di bawah pokok jambu atau mangga. Di situlah kanak-kanak sebaya bersembang riuh dengan pelbagai cerita dan kisah tetapi masih dipengaruhi tema keadaan sekitar. Waktu itu, belum ada lagi internet ataupun TV di setiap rumah. Maklumat adalah terhad dan segalanya terbatas.
Di lokasi itulah kami menghabiskan masa melihat segala jenis kereta dan bas yang melintas (di hadapan kami) di jalan utama ke Alor Setar dari arah selatan. Disebabkan jumlah kereta yang tidak begitu banyak, kami suka bersaing bagi meneka dengan betul kereta jenis apakah atau kereta warna apakah yang akan melintas di depan kami. Itu pun sudah cukup menjadi bahan menarik untuk ‘kami membuang masa lapang kami’ 4 dekad yang lalu. Memang seronok. Pada zaman itu juga, kenderaan yang kerap melintas di hadapan kami adalah kenderaan tentera dengan pelbagai bentuk dan jenis. Setiap hari ada sahaja kenderaan tentera yang melintas di hadapan kami. Negara pada masa itu masih lagi berdepan ancaman komunis, khususnya di Kedah.
Melalui pengaruh persekitaran, hati saya terdetik menjadi seorang tentera apabila dewasa nanti. Seorang askar yang bagaikan perwira tangkas berani. Itulah gambaran yang dapat saya lihat setiap hari, sehingga terpaku minat yang kuat bagi berada di dalam kenderaan tentera suatu hari nanti. Saya dan rakan-rakan di kampung jarang bertemu dengan doktor atau peguam atau pensyarah atau ahli perniagaan ataupun jurutera dan akauntan. Kita tidak mungkin mengimpikan sesuatu kalau kita tak dapat melihat atau berimaginasi tentangnya.
Sehubungan itu, adalah penting bagi kita pada zaman sekarang menjadi suri teladan buat generasi muda kita supaya mereka dapat lihat apakah bentuk kerjaya masa hadapan yang akan dilalui mereka. Kalau mereka sering melihat suri teladan yang berjaya dan menabur bakti pada masyarakat, maka mereka juga mahu berjaya seperti suri teladan tersebut. Namun, kalau tiap-tiap hari mereka melihat bangkai bernyawa yang menyusahkan orang lain dan ingin hidup senang tanpa mahu berusaha, maka bangkai bernyawalah jadinya.
Okey, apa yang terjadi pada cita-cita awal saya ini? Saya memang serius. Saya bertanya pada orang tertentu di kampung bagaimana memohon memasuki Maktab Tentera Diraja dan saya berjaya mendapat alamat bagi dihubungi. Dengan berbekalkan setem 5 sen, saya memohon borang kemasukan. Saya tidak pernah menjangka akan mendapat borang tersebut. Saya sekadar cuba-cuba.
Dalam konteks ini, saya ada melakukan kesalahan pada kedua ibu bapa saya. Saya tahu emak dan abah takkan setuju jika mereka tahu saya ingin menyertai pasukan tentera (walaupun mereka pun tidak tahu apa sebenarnya Maktab Tentera Diraja). Bagi menyembunyikan urusan ini, saya menggunakan alamat rumah jiran saya bagi urusan surat-menyurat. Di luar jangkaan saya, saya mendapat borang permohonan kemasukan ke Maktab Tentera Diraja. Inilah beberapa detik kegembiraan yang signifikan dalam hidup saya. Saya berasa bangga dan mula berangan-angan menerbangkan jet pejuang tentera melintasi ruang udara Simpang Kuala suatu hari nanti… memang bercita-cita nak jadi juruterbang.
Namun, perasaan gembira dan teruja ini tidak bertahan lama. Semuanya berkecai sekelip mata kerana antara syarat utama kemasukan ke Maktab Tentera Diraja adalah semua pemohon/pelajar mestilah tidak mempunyai sejarah patah tulang tangan atau kaki. Malangnya, saya pernah patah tangan kiri pada umur 6 tahun dan sehubungan itu, tangan saya agak bengkok sikit. Ini juga antara detik kekecewaan dalam hidup saya.
Saya juga cuba memasuki MRSM – tapi kali ini dengan pengetahuan emak dan abah – tetapi saya gagal dalam ujian saringan. Minda saya tidak begitu saintifik. Saya mengulangkaji nota pelajaran dengan sebaik mungkin kerana ingin sangat meninggalkan kampung dan ingin belajar di tempat yang lebih kondusif. Malangya, semua soalan yang keluar dalam ujian penilaian atau kelayakan adalah berkaitan cara fikir atau algoritma sains dan langsung tiada kaitan dengan sains dan matematik. Sekali lagi, saya kecundang dan kecewa.
Luka kekecewaan bertambah dalam apabila emak dan abah tidak memberi pilihan sama sekali kepada saya bagi memasuki sekolah menengah kebangsaan arus perdana, seperti Kolej Sultan Abdul Hamid atau Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) atau Sekolah Menengah Syed Omar atau paling kurang, Sekolah Menengah Teluk Chengai. Ramai kawan saya pergi ke salah satu dari empat sekolah ini. Apa pilihan yang saya ada? Maktab Mahmud. Sekolah Arab. Kena pakai seragam putih dan berseluar panjang serta bersongkok hitam.
Bagaimana boleh saya melakar impian awal kalau saya hanya berakhir di Maktab Mahmud! Ini tidak patut. Terus-terang, masa itu, cita-cita saya sudah pun padam. Impian saya kosong kehampaan. Maktab Mahmud sebagai sekolah agama dan Arab tidak menjanjikan apa-apa potensi kerjaya yang hebat. Sebenarnya, Maktab Mahmud banyak memberikan peluang dan potensi kepada pelajarnya menceburi pelbagai bidang tetapi masyarakat sahaja yang berfikiran sempit. Ingat, minda dan impian kita (saya dan anda) akan terpengaruh dengan cakap-cakap masyarakat. Sekali lagi, buang yang keruh, ambil yang jernih.
Saya juga terpedaya dengan masyarakat. Seluruh kampung memandang rendah saya… berpakaian putih dan bersongkok hitam… bakal penggangur tegar dalam masyarakat. Makwe pun payah nak dapat. Siapa yang nak berkawan dengan budak sekolah Arab?! Jangan salah faham, ya… ini hanya ekpresi masa dahulu sebagai anak remaja. Namun, dunia bukan malam dan gelap selama-lamanya. Segalanya bertukar sekelip mata. Sekarang – dewasa ini - senarai menunggu bagi memasuki sekolah Arab dan agama amat panjang. Permintaan memang melebihi penawaran.
Saya tak perlu menunggu lama. Selepas beberapa tahun belajar di Maktab Mahmud, saya sudah nampak potensi saya sebagai pelajar Maktab Mahmud. Waktu itu, saya belum lagi ada cita-cita tertentu tetapi saya berimpian bagi layak masuk ke Kolej Islam Klang selepas peperiksaan SRP. Saya terus bekerja kuat dengan kelas tambahan di sana sini dan sepanjang hujung minggu, khususnya bagi mata pelajaran yang lemah seperti sains dan matematik. Keputusan SRP diumumkan. Keputusan saya tidak begitu cemerlang, Hanya mendapat 15 kredit tetapi alhamdulillah, cukup bagi melayakkan diri ke Kolej Islam Klang. Impian kembali bergemerlapan!
Kolej Islam Klang merupakan pintu pertama saya ke persada antarabangsa. Kenapa ya? Saya mempunyai guru dari pelbagai bidang dan latar belakang. Mereka semua seolah-olah memberi suntikan kepada setiap pelajar agar tekun belajar dan tanamkan semangat bagi ke luar negara. Ini hebatnya Kolej Islam Klang. Namun, saya belum ada apa-apa cita-cita yang konkrit. Selepas peperiksaan SPM, saya meneruskan pengajian untuk STPM walaupun keputusan SPM saya adalah dalam kalangan 4 pelajar terbaik. Ramai rakan saya mengambil peluang ke luar negara (dalam bidang sains) atau pra-universiti (dalam bidang pengajian Islam).
Saya sempat juga menduduki Sijil Tinggi Agama Islam Kolej Islam Klang di Tingkatan Enam Rendah dan berjaya meraih kedudukan sebagai pelajar kedua terbaik. Alhamdulillah, terdapat pula tawaran biasiswa daripada Kerajaan Kuwait untuk 3 pelajar terbaik dalam Sijil Tinggi Agama dan saya terpilih bersama rakan-rakan yang lain ke Kuwait.
Apabila saya menjejaki bumi Kuwait pada bulan September 1983 dalam suhu panas 40 darjah Celcius, saya tiba-tiba terfikirkan pelbagai cita-cita dan semuanya menarik belaka. Semua nak buat! Peluang melanjutkan pelajaran dalam bidang Syariah di Universiti Kuwait yang istimewa memberikan saya sedikit kekuatan bagi mula menyemai 1,001 impian. Kadang-kadang, dalam hidup ini, bagi berimpian dan bercita-cita pun, kita memerlukan sedikit kekuatan bagi berani bersuara di hati “Siapakah aku pada masa hadapan?” Berani bertanya, akan ada jawapannya. Tapi kalau langsung tak bertanya, sunyi sepilah jadinya.
Seperti yang saya sebutkan, saya diserang pelbagai cita-cita. Ya, benar-benar diasak dari pelbagai arah. Zum! Zas! Namun, tiada salahnya kita mempunyai pelbagai cita-cita kerana kalau kita tidak dapat kesemuanya pun, mungkin kita mendapat sebahagiannya. Antara cita-cita saya adalah menjadi pensyarah yang berkesan dan berimpak pada pelajar – rakan dan sahabat pada para pelajar. Saya juga bercita-cita mewujudkan perpustakaan karya-karya Syariah yang terbesar di Malaysia (cita-cita ini belum lagi kesampaian). Malah, saya juga berimpian memiliki universiti sendiri (ini pun belum nampak tanda-tandanya lagi waktu saya menulis buku ini). Cita-cita yang paling besar adalah menjadi warga global dengan minda dan gaya hidup global. Ada yang kata mustahil? Awas... jangan tewas sebelum berjuang.
Inilah beberapa cita-cita yang dapat saya kongsikan. Cita-cita yang lain terlalu ‘peribadi’ dan ‘tinggi’. Malu pula bagi dikongsikan. Insya Allah, akan dikongsikan nanti apabila sampai masanya kelak. Hidup ini biar ada cita-cita dan impian. Tak kisahlah sama ada ianya dikongsi bersama atau disimpan dalam lipatan hati. Manusia yang tiada cita-cta dan impian sudah pun mati sebelum pun nyawanya diambil malaikat maut. Malang sungguh.
(Bab 3 dari buku Anak Desa ke Persada Antarabangsa).
Mohon share post ini untuk faedah anak2 muda kita.
MDB
同時也有1部Youtube影片,追蹤數超過185的網紅salekhan othman,也在其Youtube影片中提到,9 Ogos 2020 Foodhunt at Alor Setar, Kedah: (1) Warung Klasik (2) Alor Setar Breakfast Station (3) Kafe Adik Abang (4) Kopi & Roti...
tempat menarik alor setar 在 Mahamahu Facebook 的最佳解答
Bercuti-cuti Di Alor Setar Banyak Tempat Menarik Rupanya
tempat menarik alor setar 在 salekhan othman Youtube 的最讚貼文
9 Ogos 2020
Foodhunt at Alor Setar, Kedah:
(1) Warung Klasik
(2) Alor Setar Breakfast Station
(3) Kafe Adik Abang
(4) Kopi & Roti